Tingkat program turun padang pada Ramadan
KOTA KINABALU 7 Sept. - Semua pemimpin UMNO di negeri ini diminta menjadikan Ramadan sebagai pendorong untuk meningkatkan lagi program turun padang di kawasan masing-masing khususnya dengan berbuka puasa bersama rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan itu hendaklah dimanfaatkan dan bukannya dijadikan alasan untuk mengurangkan aktiviti bertemu dengan rakyat.
"Walaupun kita berada dalam bulan Ramadan ia bukanlah satu alasan untuk kita tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh.
"Saya minta di bulan Ramadan ini kita lebih banyak turun ke bawah untuk bertemu rakyat akar umbi bagi menyelami dan seterusnya mengatasi segala permasalahan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sayang dan berbuka puasa anjuran Pergerakan Wanita UMNO Sabah dengan kerjasama Pusat Zakat Sabah di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Musliati Muslimin.
Pada majlis itu, Musa turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM200,000 kepada 200 penerima yang terdiri daripada ibu tunggal dan fakir miskin.
Menurut Musa, amalan turun padang hendaklah sentiasa diterapkan oleh semua pemimpin BN khususnya UMNO kerana ia selaras dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, dengan bersikap merendah diri dan mengamalkan budaya turun padang akan dapat memastikan BN terus mendapat sokongan rakyat.
Sementara itu Armani berkata, Wanita UMNO akan terus mempergiatkan program bagi mendekatkan Wanita UMNO dengan rakyat akar umbi.
"Program Sayang yang diadakan hari ini membuktikan komitmen Wanita UMNO untuk terus berbakti kepada rakyat di negeri ini.
"Program Sayang merupakan satu program amal buat pertama kalinya diadakan oleh Pergerakan Wanita UMNO Sabah untuk mendekati masyarakat khususnya golongan wanita yang memerlukan bantuan termasuk ibu tunggal dan fakir miskin," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kamu buli cakap apa saja kamu suka tapi tangung sendiri aaaaa mr. aki inda bartangungjawab...