Banduan bebas sempena merdeka
|
KLUANG 31 Ogos - "Selama ini, saya hanya tahu menyebut perkataan merdeka, tetapi hari ini baru saya tahu makna sebenar perkataan itu apabila dibebaskan dari penjara walaupun pernah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah," kata Lee Soon Sian.
Soon Sian mencatatkan sejarah pada Hari Kemerdekaan Ke-52 hari ini apabila bukan sahaja terlepas daripada hukuman mati kira-kira 13 tahun lalu, sebaliknya dia sekali lagi mendapat pengampunan dibebaskan dari Penjara Kluang, hari ini.
Kedua-dua pengampunan itu diberikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Lebih manis lagi, dia merupakan satu-satunya banduan yang dibebaskan sempena Hari Kebangsaan setakat ini.
Soon Sian, 39, sebelum itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya oleh Mahkamah Tinggi Taiping pada tahun 1994.
Setelah membuat rayuan, dia kemudian mendapat pengampunan daripada Sultan Azlan pada tahun 1996 dan hukuman itu telah diringankan kepada penjara seumur hidup.
Dia yang tidak pernah berputus asa, terus membuat rayuan demi rayuan sebelum baginda sekali-lagi memperkenankan permintaannya supaya dia dibebaskan hari ini.
"Lebih meninggalkan kesan pada diri saya ialah ketika dilepaskan daripada hukuman gantung dulu, keputusan itu saya terima pada bulan Ramadan. Kali ini, sekali lagi keputusan untuk membebaskan saya juga diterima pada bulan yang sama.
"Maknanya jika bulan Ramadan adalah bulan mulia dan penuh keberkatan bagi orang Islam, bulan Ramadan juga saya anggap bulan paling bertuah kepada saya, tak tahulah macam mana saya nak ucap terima kasih pada Tuanku, rasa macam nak melutut di kaki baginda," kata Soon Sian yang hanya mengenali Raja Azlan melalui gambar sahaja.
Sebelum itu, kira-kira pukul 9 pagi ini, Soo Sian dibawa keluar dari selnya oleh dua wadar penjara untuk bertemu dengan Pengarah Penjara Kluang, Penolong Kanan Komisioner Roslan Mohamed dan Penolong Komisioner Penjara, Supri Hashim dari Bahagian Keselamatan Ibu Pejabat Penjara Malaysia.
Kira-kira 10 minit kemudian, Roslan mengarahkan Soo Sian menggantikan pakaian penjaranya sebelum kedua-duanya masuk ke bilik dokumentasi.
Di situ, Roslan menurunkan tandatangan tidak kurang daripada 10 dokumen sebelum membacakan perintah pembebasan kepada Soo Sian.
Beliau juga sempat memberikan nasihat dan perangsang kepada banduan berkenaan, di saat itu mata Soo Sian kelihatan bergenang.
Kemudian Roslan meminta seorang pegawainya menyerahkan sejumlah wang gaji yang dikumpul Soo Sian dan pada masa sama meminta dia mengiranya secara teliti.
Soo Sian yang agak terketar-ketar mengira dengan penuh khusyuk setiap helai wang diterimanya.
Selepas itu terpancar senyuman pada mulut Soo Sian sebelum dia bersalaman dengan setiap pegawai dan wadar yang berada di situ.
Sementara itu Roslan berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan keputusan Sultan Perak yang memperkenankan rayuan pembebasan Soon Sian.
Menurutnya, ini disebabkan Soon Sian telah menunjukkan sifat dan kelakuan yang terpuji sepanjang 19 tahun ditahan dalam penjara.
Katanya, banduan berkenaan tidak pernah melanggar peraturan penjara bahkan sentiasa menunjukkan kesungguhan untuk insaf dan tidak mengulangi kesalahan yang pernah dilakukannya sebelum ini.
"Antara sikapnya yang saya ingat adalah kesanggupannya menyerahkan wang sebanyak RM1,000 yang dia kumpul selama bekerja di dalam penjara semata-mata untuk mengubati bapanya yang sedang uzur.
"Atas semua faktor itu, kami rasa telah membuat tindakan yang betul untuk membawa rayuan Soon Sian ke Lembaga Pengampunan dan saya menganggap keputusan yang baginda buat untuk melepaskan banduan itu tepat pada waktunya," ujar Roslan.
Salam,
BalasPadamItulah erti kemrdekaan sebenar, tetapi ada manusia yang mahu lebih lagi kebebasan dari apa yang ada, kebebasan untuk buat apa sahaja yang dia suka dan tak perlu ikut undang-undang.....