


"وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَاعِرٍۢ ۚ قَلِيلًۭا مَّا تُؤْمِنُونَ
dan Al quran itu bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya." (QS. AL HAAQQAH:41)





KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam dimaklumkan barisan pendakwaan akan membekalkan pihak pembelaan dengan dokumen-dokumen rahsia kerajaan berhubung kes penipuan RM1.08 bilion berkaitan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pihaknya tiada masalah untuk menyediakan dokumen tersebut, sebagaimana diminta oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili bekas presiden MCA itu.
"Kami akan membekalkan lebih daripada 200 dokumen tersebut, yang sesetengahnya adalah rahsia," kata Abdul Gani yang memberitahu dokumen tersebut akan diserahkan bulan depan.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi kemudian menetapkan 3 hingga 20 Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan terhadap Liong Sik, 67. Beliau menghadapi pertuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan mengelirukan Kabinet mengenai pengambilan tanah untuk projek mega di Pelabuhan Klang.
Menurut pertuduhan utama, beliau didakwa menipu Kabinet untuk mempersetujui pembelian tanah mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

LOS ANGELES – Sepasang kembar, Tyler Winklevoss dan Cameron Winklevoss yang sebelum ini pernah menyaman pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg, 26, pada 2007 sekali lagi memfailkan saman terhadapnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada 2007, Tyler dan Cameron yang berusia 29 tahun menyaman Zuckerberg kerana dia didakwa mencuri idea untuk menghasilkan Facebook daripada mereka.
Dawaan mencuri idea itu dibuat selepas pasangan kembar itu meminta Zuckerberg menghasilkan kod untuk satu rangkaian sosial mereka, Harvard Connection.
Pasangan kembar itu dan Zuckerberg merupakan rakan semasa mereka belajar di Universiti Harvard.
Zuckerberg berusia 26 tahun telah membayar kembar itu sebanyak AS$65 juta (RM204.5 juta) bagi menyelesaikan kes saman yang pertama.
Namun, kini, pasangan kembar itu menuntut ganti rugi yang lebih banyak selepas mereka mendakwa ditipu oleh Zuckerberg mengenai nilai sebenar syarikat Facebook.
Terdapat dakwaan bahawa nilai syarikat tersebut ialah AS$11.5 billion (RM36.2 billion)
Menurut majalah Forbes, Zuckerberg kini menjadi warga Amerika yang ke-35 terkaya dengan anggaran kekayaan AS$6.9 billion (RM21.7 billion).
Saman kedua itu difailkan di sebuah mahkamah di California. – Agensi

BEIJING - Seorang siswazah, Dai Haifei membina sebuah kabin berbentuk telur dengan menggunakan buluh, rumput dan kayu kerana tidak mahu dibebani kos sewa rumah yang mahal di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Kabin unik itu menarik perhatian ramai di China dan di luar negara.
Pada minggu lalu, pemuda berusia 24 tahun itu berkata, dia membina kabin tersebut kerana tidak mampu membayar sewa selain dapat tinggal berhampiran dengan tempat kerjanya.
Namun, pada Jumaat lepas beberapa saksi melihat Haifei dan rakan-rakannya memindahkan kabinnya ke atas sebuah lori.
Dia menyatakan, rumahnya itu dibawa oleh syarikatnya yang merupakan sebuah firma reka bentuk kerana ia kelihatan unik.
Namun, kini terdapat khabar angin bahawa rumah itu sengaja dibina untuk tujuan promosi. - Agensi ( KOSMO )