"وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَاعِرٍۢ ۚ قَلِيلًۭا مَّا تُؤْمِنُونَ
dan Al quran itu bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya." (QS. AL HAAQQAH:41)

SINI KAMU URANG

Khamis, 2 Julai 2009

duni oh.....dunia

ULASAN MR. AKI- Siapa pun kita, kuburan adalah milik tubuh badan kita... dan ulat2 manjamanya tanpa kanal raja atau kuli sama saja baginya...!!!

Siapa lebih gila?




Sepanjang hayatnya, Michael Jackson bukan setakat mahu menjadi penyanyi terkenal atau popular. Sebaliknya impian sebenarnya adalah mahu setanding dengan populariti kumpulan The Beatles. Dia juga mahu diiktiraf sebagai Raja Muzik dan mengalahkan artis sepanjang zaman, Elvis Presley.

Tidak kira semasa hidup atau mati, Michael masih dibandingkan dengan Elvis. Sedar atau tidak, Michael akhirnya berjaya menyamai Elvis dari sudut baik dan buruk. Mencipta revolusi muzik dan fenomena pada era masing-masing, kedua-dua bintang itu turut meninggal dunia dalam keadaan tragis pada usia yang muda.

Kematian Michael pada usia 50 tahun tidak menghairankan tetapi mengejutkan dunia. Hanya selepas 32 tahun kematian Elvis, seorang lagi 'raja' meninggal dunia. Dipisahkan oleh generasi berbeza, mereka memiliki banyak persamaan.

Seorang merupakan Raja Pop dan seorang pula Raja Rock n Roll. Kedua-duanya memberi impak mendalam terhadap industri muzik global, bergelut dengan imej sendiri, kegagalan hubungan cinta serta masalah kesihatan. Berbakat pada tahap tiada tandingan, mereka juga dilabelkan sebagai genius seni 'gila'.

Elvis yang meninggal dunia pada usia 42 tahun menguasai era muzik tahun 1950-an dan Michael menjajah era 80-an. Elvis mengejutkan khalayak dengan tarian pinggulnya dan Michael memukau dengan gerak tarinya yang dipanggil, Moonwalk. Apabila Elvis meninggal pada tahun 1977, Michael memulakan penjajahan dan dia kemudian menukar populariti genre Elvis sepenuhnya.

Michael telah membuka sempadan muzik tanpa mengira kaum terutama warna kulit. Malah mengikut penyelidikan ramai, muzik Michael sebenarnya telah mengatasi empayar yang dibina Elvis. Jika diikutkan sejak kematian Elvis, belum ada lagi kematian legenda muzik yang berjaya menyentuh hati peminat muzik seluruh dunia sehingga hari ini.

Bekas isteri Michael yang juga merupakan anak tunggal Elvis, Lisa Marie Presley memberitahu pada Jumaat lalu bahawa bintang pop itu merupakan seorang yang memiliki jiwa yang terseksa.


TIDAK kira hidup atau mati, Michael dan Elvis sering dijadikan perbandingan antara satu sama lain.


Apa yang mengejutkan, menurut Lisa juga, Michael pernah meramalkan hayatnya akan mempunyai kesudahan seperti Elvis.

Menulis dalam blog laman sosial, MySpace, Lisa menyatakan hubungannya dengan Michael bukan dirancang seperti yang dihebohkan media, tetapi mereka berpisah kerana dia tidak dapat menyelamatkan Michael daripada perangai yang memusnahkan diri sendiri.

Malah, Lisa dan Michael pernah bercerita mengenai kematian Elvis dan Lisa terkejut dengan reaksi Michael.

"Pada suatu ketika, Michael terhenti dan memandang tajam ke arah saya. Dia kemudian memberitahu, 'Saya takut saya akan menerima kesudahan seperti dia (Elvis)'."

Lisa juga menulis bahawa dia cuba untuk menghalang Michael daripada berfikir sedemikian tetapi lelaki itu hanya menggelengkan kepalanya seperti sudah mengetahui apa yang akan berlaku dan tidak mahu dipujuk.

"Menyaksikan berita yang memaparkan senario yang sama berlaku pada 16 Ogos, 1977 dan kini bertukar fokus kepada Michael (satu pandangan yang saya tidak mahu lihat sekali lagi) seperti mana diramalkan oleh dia," ujar Lisa.

Persamaan Michael, Elvis

Elvis memasuki dunia nyanyian lebih lambat berbanding Michael yang memulakan karier sejak kecil. Populariti di seluruh dunia telah menyekat mereka berdua daripada menjalani hidup normal.


MICHAEL pernah bergelar menantu Elvis.


Dituduh melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak pada tahun 1993, Michael sejak itu menimbulkan perasaan benci dan meluat orang ramai terhadapnya. Dia dianggap manusia pelik dan psiko. Sementara itu, Elvis pula dipuja sebagai insan ternama dunia.

Michael diakui telah memusnahkan dirinya sendiri dan 'mungkin' pernah melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak (tetapi telah disabitkan tidak bersalah di mahkamah) dan menghayun anak ketiganya di balkoni.

Namun, Elvis sebenarnya turut mengharungi hidup yang 'gelap' seperti Michael. Tetapi mengapa Elvis tidak dipanggil gila atau begitu dibenci? Mungkin ketika era kegemilangan Elvis, media elektronik belum lagi berkembang pesat. Maka, ramai sebenarnya tidak mengetahui kisah-kisah hodoh Elvis.

Michael pula hidup dalam dunia siber yang sering kali menokok tambah kebenaran sesebuah cerita. Elvis sebenarnya juga dikatakan pernah melakukan penderaan seks terhadap kanak-kanak. Dalam satu laporan media, Elvis dikatakan meniduri bekas isterinya, Priscilla ketika wanita itu berusia 14 tahun. Bukankah itu juga satu kesalahan untuk mengadakan hubungan dengan gadis bawah umur?

Walaupun selepas itu, Priscilla menegaskan bahawa dia dan Elvis hanya tidur bersama selepas berusia 18 tahun, kebenaran hanya diketahui mereka berdua. Elvis yang sentiasa khayal dengan dadah juga dilihat membahayakan diri dan pernah dikatakan cuba untuk membunuh bekas isterinya itu selain membahayakan Lisa.

Elvis juga obses terhadap gadis yang masih memiliki dara dan mempunyai minat melampau terhadap wanita yang telah melahirkan anak. Bukankah itu juga satu sikap tidak normal? Michael ada melakukan pembedahan plastik yang telah merosakkan wajahnya. Elvis juga pernah menjalankan proses penegangan kulit muka. Tiada bezanya.


LISA (ketika kecil) bersama Elvis dan ibunya, Priscilla.


Mungkin disebabkan Elvis telah lama meninggal maka semua orang mula lupa akan insiden buruk yang berlaku sepanjang hidupnya. Maka, diharap 'keburukan' Michael turut sama berkubur saat dia meninggal dan semua kejayaan akan terus menyinar.

"Ia sangat pelik. Michael pernah mengahwini anak perempuan Elvis," kata pengkritik muzik, Greil Marcus yang menulis tentang Elvis dalam bukunya, Mystery Train.

Mungkin disebabkan mahu 'meningkatkan' lagi taraf populariti dirinya, Michael berkahwin anak perempuan Elvis, Lisa. Dia juga membeli hak cipta untuk beberapa buah lagu Elvis.

Elvis memiliki Graceland, yang menjadi simbol kepadanya sepanjang hayatnya. Michael memiliki Neverland, satu taman tema fantasi serta kediaman yang dibinanya dengan harapan dia hidup dalam dunia sendiri.

Michael tidak suka Elvis

Dalam memoir berjudul, Moon Walk yang diterbitkan pada tahun 1988, Michael menegaskan bahawa Elvis tidak penting dalam hidupnya terutama semasa dia sedang membesar. Malah, dia tidak gembira apabila mengetahui lagunya yang dirakamkan bersama empat orang abangnya, Heartbreak Hotel berkongsi judul sama dengan lagu popular Elvis.

"Saya bersumpah lirik-lirik itu datang secara natural dan semasa saya menulisnya, saya tidak memikirkan lagu lain. Maka, syarikat rakaman saya mencetaknya sebagai This Place Hotel kerana Elvis. Tidak kira betapa pentingnya nilai dia terhadap muzik tidak kira kulit putih atau hitam, dia (Elvis) tidak memberi sebarang pengaruh kepada saya.

"Semasa saya mula popular, ramai yang berpendapat bahawa saya akan menerima nasib sepertinya. Tapi saya rasa dia melalui hidup yang berbeza dengan saya. Tapi cara Elvis memusnahkan dirinya menarik perhatian saya kerana saya tidak mahu melalui fasa hidup yang sama," kata Michael.

Apa yang tertulis dalam memoir itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Michael turut mati dengan tragis yang banyak faktornya dikira akibat perbuatan sendiri (walaupun laporan perubatan sah belum dikeluarkan).

Kaya selepas mati

Kedua-dua Elvis dan Michael turut mempunyai masalah kewangan. Namun, masalah itu lebih menghantui Michael yang dikelilingi hutang. Berbelanja secara mewah walaupun sudah lebih sedekad tidak aktif, gaya hidup Michael itu yang menjadi punca dia terpaksa menjual Neverland.

Sama seperti Michael, Elvis juga tidak muncul dengan album baru untuk beberapa tahun sebelum dia meninggal. Hanya bergantung kepada duit royaliti dan membuat persembahan di Las Vegas, kematiannya telah menjana keuntungan yang menimbulkan fenomena.

Estet Elvis yang dianggarkan bernilai AS$4.9 juta (RM17.15 juta) ketika dia meninggal. Pada tahun 2005, sebuah syarikat yang dikendalikan oleh Robert F.X. Sillerman telah membayar AS$100 juta (RM350 juta) untuk mendapatkan 85 peratus daripada estet di Graceland dengan hak milik sepanjang 90 tahun sahaja. Kesemua harta Elvis diwarisi oleh Lisa.


MICHAEL sering memukau khalayak dengan gerak tarinya yang luar biasa.


Dijangkakan estet Michael mungkin bernilai lebih AS$1 bilion (RM3.5 bilion). Selain itu, Michael memiliki separuh daripada aset Sony/ATV Music Publishing, barangan kemas bernilai AS$2 bilion (RM7 bilion), 750,000 katalog lagu termasuk lagu The Beatles, Bob Dylan, Neil Diamond, Lady Gaga dan Jonas Brothers.

"Michael mungkin sudah 'menyembunyikan' sedikit daripada hartanya untuk masa depan ketiga-tiga orang anaknya, Michael Joseph Jackson Jr. (Prince Michael), 12 Paris Michael Katherine Jackson, 11 dan Prince Michael II, 7," kata satu sumber.

Sementara itu, kematian Michael telah meningkatkan jualan lagu terutama jumlah muat turun. Senario yang sama juga berlaku ketika kematian Elvis. Pada tahun 2007, barangan yang menggunakan Elvis sebagai jenama telah menjana keuntungan sebanyak AS$52 juta (RM182 juta) mengalahkan keuntungan yang dibuat Justin Timberlake dan Madonna.

Justeru, pewaris Michael juga boleh meneroka cara membuat keuntungan seperti Elvis dengan menghasilkan kemeja-T, album kompilasi lagu-lagu yang belum diterbitkan (dilaporkan Michael mempunyai lebih 100 lagu yang belum diterbitkan) atau menjalankan pementasan berdasarkan lagu-lagunya.


GAYA dan penampilan hebat Elvis sebelum dilanda masalah obesiti.


Berdasarkan fenomena yang dicipta kedua-dua ikon muzik itu, maka tidak hairan jika media terutama menerusi medium komputer telah membicarakan satu tajuk sama iaitu perbandingan antara dua bintang tersohor itu. Siapa lebih hebat? Itu menjadi topik perbincangan mereka.

Namun, perlukah Michael dan Elvis dijadikan perbandingan? Elvis meninggal lapan tahun lebih awal berbanding usia Michael. Tetapi mereka berduanya sebenarnya sudah lama 'mati' dari segi jiwa dan artistik. Moralnya, semakin anda berjaya dan menikmatinya, lebih banyak godaan yang anda tidak dapat tolak.

Bagi kedua-dua bintang itu, ia bukan sahaja mengenai dadah. Tekanan, populariti, kemasyhuran dan obsesi tidak dinafikan telah memusnahkan hidup kedua-dua bintang terunggul dunia. Namun, rasanya kematian telah menjadikan mereka berdua lebih megah berbanding hayat mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kamu buli cakap apa saja kamu suka tapi tangung sendiri aaaaa mr. aki inda bartangungjawab...

Klik player di bawah untuk mendengar siaran CAHAYAFM