KUALA LUMPUR 22 Jun - Kes liwat yang dihadapi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini mulai 1 Julai ditangguhkan sehingga 8 Julai ini.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan bagi membolehkan beliau mendengar dua permohonan Ketua Pembangkang itu terlebih dahulu sebelum perbicaraan kes tersebut bermula.
Menurutnya, pada 1 Julai ini beliau akan mendengar permohonan untuk mendapatkan dokumen berkaitan kes itu setelah Sulaiman Abdullah yang mengetuai barisan peguam mewakili Anwar memohon penangguhan bagi membolehkan pihaknya memfailkan jawapan kepada afidavit balasan pihak pendakwaan.
Permohonan tersebut sepatutnya didengar oleh hakim tersebut pada hari ini.
Hakim Mohamad Zabidin juga menetapkan 8 Julai ini bagi mendengar permohonan Anwar untuk membatalkan tuduhan liwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang dijadualkan didengar pada Jumaat ini.
''Perbicaraan kes utama yang ditetapkan pada 1 Julai pula ditangguhkan kepada 8 Julai ini,'' kata hakim tersebut.
Beliau turut membenarkan permohonan Sulaiman supaya Anwar dikecualikan daripada hadir ke mahkamah pada 1 Julai ini tetapi pemimpin pembangkang itu diperintahkan hadir pada 8 Julai ini.
Anwar, 62, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lalu.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 1 hingga 24 Julai ini perbicaraan kes tersebut.
Sulaiman terdahulu memberitahu, tarikh perbicaraan pada 1 Julai wajar dikosongkan bagi mengelak timbulnya prasangka orang awam bahawa mahkamah telah membuat keputusan menolak permohonan Anwar.
Tambahan pula, jelas beliau, selain dua permohonan itu, Anwar sedang menunggu tarikh untuk Mahkamah Rayuan mendengar rayuannya terhadap keputusan yang membenarkan perbicaraan kes liwat itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan tidak membantah penangguhan yang dipohon.
Pada perbicaraan kelak, sekurang-kurangnya 30 saksi pendakwaan akan dipanggil termasuk Mohd. Saiful Azhar, pegawai penyiasat, Deputi Supritendan Jude Pereira, kakitangan kondominium tempat kejadian berlaku dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pada 10 Jun lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memfailkan permohonan supaya pendakwa raya membekalkan semua dokumen dan barangan berkaitan kes liwat tersebut.
Anwar antara lain memohon pendakwa raya membekalkan keseluruhan kandungan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kondominium Desa Damansara dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil daripada mangsa serta beberapa barang di kondominium tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kamu buli cakap apa saja kamu suka tapi tangung sendiri aaaaa mr. aki inda bartangungjawab...